Monday 25 June 2012

Lidah Jin


Lidah Jin pokok hiasan tahan lasak



LIDAH Jin tahan lasak.
MUNGKIN ramai antara pembaca tertanya-tanya Sensevieria itu pokok apa? Tetapi jika disebut pokok Lidah Jin atau pokok 'Mother-in-law Tongue', semua orang akan berkata, “Hah! Pokok itu memang aku kenal”. Ia terdapat di mana-mana sama ada di pembahagi jalan, bulatan', bawah jalan bertingkat, taman permainan atau di halaman rumah.

Apa istimewanya pokok Sensevieria ini? Sebagai jenis pokok berdaun tebal dan keras, pokok Lidah Jin ini adalah pokok hiasan yang tahan lasak, dapat hidup lebih lama tanpa penyiraman seperti tumbuhan hiasan lain.

Ini kerana daunnya yang tebal itu menyimpan air dan makanan yang diperlukan pokok. Disebabkan sifat daunnya yang keras menyebabkannya dapat bertahan di bawah pancaran terik mentari dan amat sesuai ditanam di tempat terbuka.
Malah ia boleh kelihatan sentiasa subur dan segar dalam jangkamasa yang lebih lama di tempat yang terlindung atau kurang mendapat cahaya matahari.
Tetapi, mungkin kerana pokok ini senang hidup, murah pula harganya, kadang-kadang kita kurang menghargainya. Sering kali kita dapati pokok Lidah Jin ini tumbuh terbiar di tepi parit, jika ada di halaman rumah pun, tumbuhnya tidak terurus, sering kali dianaktirikan oleh pemiliknya.

Pokok ini sebenarnya cukup istimewa, bukan saja kerana ketahanannya, malah corak dan jalur warna pada daunnya cukup menarik terutamanya bila kita membuat gubahan atau menghias sesuatu sudut.
Ia tumbuh secara menegak dan tersusun menyenangkan kita menggunakannya ketika menghias atau menyusun atur taman di halaman rumah kita. Jika mahu mengawal tumbesarannya, tanam pokok ini di dalam pasu, pertumbuhannya akan lebih perlahan.

Satu lagi kelebihan Sensevieria, ia boleh hidup subur walaupun ditanam tanpa menggunakan tanah. Kerana keunikan inilah, ia amat sesuai digunakan untuk menghias di dalam rumah.

Apa yang perlu kita lakukan, mula-mula bersih pokok ini berserta dengan akar-akarnya dengan cara meletakkannya di bawah pancuran air paip. Kurangkan penggunaan jari untuk membuang kotoran pada celah-celah akar bagi meminimumkan kecederaan akar berkenaan.

Selepas bersih, gunakanlah bekas kegemaran anda untuk menanam pokok ini. Anda boleh tanam Sensevieria hanya menggunakan air semata-mata seperti tanaman hidroponik.
Untuk menstabilkan pertumbuhannya, boleh gunakan batu kecil, guli, pasir atau menggunakan jeli yang senang didapati di tapak semaian atau di pasar raya.

Pokok ini akan kelihatan lebih menarik jika menggunakan bekas daripada kaca, kerana dapat melihat pertumbuhannya dari hujung daun hingga ke akarnya, Sensevieria yang bersih dan segar ini boleh dijadikan hiasan dan menghijaukan ruang tamu, bilik tidur, bilik bacaan, meja makan, malah ke bilik mandi sekalipun. Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment