Thursday, 6 September 2012

Nostalgia


Topik: Nostalgia


Dengan Nama c(_l_) l Yang Maha Pengasih Dan Maha Penyayang. Assalamualaikum wbt...

Aku merenung tajam segulung ijazah yang aku terima semalaman. Aku membelek dan perhatikan setiap tulisan yang tertulis di sekeping kertas itu.

Aku bangga kerana akhirnya. Aku berjaya dalam hidup. Berjaya membanggakan bangsa aku sendiri. Rakyat Singapura yang berbangsa melayu. Aku berharap, setiap bangsa melayu di Singapura akan berjaya seperti aku ataupun lebih maju dari aku, supaya tidak ketinggalan dan tidak ditindas.

Selepas bertahun-tahun aku berjuang dan merana di alam persekolahan ku, akhirnya aku tidak sia-siakan segala apa yang telah aku usahakan dan yang penting tidak sia-siakan pengorbanan ibu-bapaku membesarkan ku dan menyekolahkan ku. Malangnya, mereka tiada di sisiku untuk menumpang bahagia bersama ku. Aku kesal. Aku tidak dapat membalas segala jasa dan pengorbanan mereka selama 20 tahun. Aku amat merindui mereka. Saat aku menerima ijazah dari kementerian pelajaran, hati aku hanya mengenangkan mereka. Aku ingin berlari ke mereka dan menunjukkan hasil yang selama ini telah mereka usahakan. Tapi ke mana? Kemana harus aku tujui untuk bertemu dengan mereka. Aku sudah terlambat. Tetapi aku percaya mereka akan berasa bangga dengan pencapaian ku.

"Ibu, Intan tidak akan mengecewakan Ibu. Intan akan berusaha. Walaupun Ibu tiada di sisi Intan. Intan akan tunjukkan pada semua. Anak Ibu adalah seorang anak yang akan membanggakan ibu-bapanya," kata-kata yang ku ucapkan pabila aku menyahut kepergiannya. Masih jugak terngiang-ngian di telinga ku mendengar setiap nasihat ibu.

Terimbas kembali masa silam ku yang penuh dengan onak dan duri. Penuh dengan dugaan dan cabaran.

Sewaktu aku berumur belasan tahun. Aku seorang budak yang cukup nakal dan degil. Seorang pelajar yang pemalas yang sering dimarahi guru-guru sekolah. Ibu pernah berkata. Aku juga kepala batu, tidak pernah hendak menerima nasihat orang tua dan suka melawan kata-kata Ibu.

"Kau pergi mana? Malam baru balik? Tak tahu duduk rumah eh!" marah Ibu pada suatu malam apabila aku pulang lewat.

"Intan keluar sekejap sahaja. Baru pukul sepuluh malam. Bukannya Intan tak balik!" jawabku setibanya di rumah lalu terus menuju ke bilik.

"Cuba sekali-sekala dengar kata-kata Ibu Intan. Sekali sahaja pun cukup. Ibu penat marah Intan. Cuba nak, cuba jangan mencari kemarahan Ibu!" sambungnya lagi sambil meninggikan suaranya.

"Dah lah Maria, sabar nak. Biar budak tu berehat dahulu. Nanti dah hilang penat dia tu, kau ajak dia berbincang. Dah malam ni, jangan terjerit-jerit. Malu kalau tetangga dengan," pujuk nenek.

Nenek lah tempat Ibu mengadu, selepas arwah ayah meninggalkan kami sewaktu umur ku dua belas tahun.

"Saya tak tahan lagi mak. Intan degil sangat. Sikit pun dia tak mahu dengar cakap Mar. Kalau arwah ayahnya ada, boleh juga dia ajar sikit Intan ini. Dia satu-satu anak Mar mak. Mar tak nak dia gagal dalam kehidupan," sambung Ibu sambil terisak-isak.

Begitulah cara kehidupan ku, setiap hari mencari kemarahan Ibu. Sudah menjadi kebiasan ku pulang lewat malam. Bercampur dengan budak budak nakal di sekolah ITE.

"Eh Intan. Mana kau pergi. Aku cari kau satu dunia. Aku nak beritahu kau ni, esok, hari jadi Malik. Malik nak sambut hari jadi dia di Pasir Ris Park. Dia jemput semua members kita. Kau pergi eh! Tak ada kau tak gerek lah," ajak Rina, teman sekolah ku.

"Ok. Aku tak ada hal punya. Esok jumpa tempat biasa lepas sekolah. Kita pergi sama-sama macam mana?" jawab ku.

"Ok. Jadi. Jangan lupa tau!"

Keesokan harinya, selepas sekolah aku terus pulang ke rumah dan terus menukar pakaian ku. Temanku yang lain sudah menunggu ku di MRT.

"Mak Intan nak duit. Intan nak keluar sekejap," aku meminta wang belanja dari Ibu.

"Nak pergi mana? Balik malam lagi lah tu?" tanya Ibu sambil membuka dompetnya.

"Mana cukup Mak. Nak makan luar bukan sikit-sikit!" aku menolak pemberian Ibu sebanyak sepuluh dolar itu.

"Kau tahu tak Mak ni kerja apa? Kau ingat mak toke bank eh! Nak pergi mana tu sampai nak pakai duit banyak banyak?" tegur Ibu.

"Tak nak kasi sudah. Intan boleh cari sendiri lah!" jerit ku lalu terus keluar dari rumah itu.

Ketika aku memakai kasut, nenek, menepuk bahu ku lalu menghulurkan wang sebanyak dua puluh ringgit. Nenek tersenyum lalu berkata,

"Nenek tak mahu kau pergi mencari wang. Kau masih sekolah. Jangan buat perkara yang tak baik Cu. Jangan pulang malam ye cu. Nanti Ibu marah lagi."

Aku memeluk erat nenek dan mencium pipi nenek. Nenek sahaja yang memahami jiwa seorang remaja seperti diriku. Kasih sayang seorang nenek terhadap cucunya cukup besar. Nenek seperti air yang menyiram api yang sedang membara. Nenek menenangkan suasana yang hangat. Nenek mengajar kami sekeluarga erti kasih sayang dan kesabaran antara satu sama lain. Nenek seorang yang cukup sabar. Nenek selalu menasihati ku supaya tidak melawan kata-kata Ibu. Tapi aku, seorang remaja yang mahu mengenal dunia luar, sentiasa dengan kemahuan ku. Sedikit pun tidak pernah aku pedulikan Ibu. Ibu yang sentiasa memarahi ku, membuat aku semakin degil.

Sesampai sahaja aku di taman riadah Pasir Ris, teman-teman yang lain sudah memulakan sambutan mereka. Lelaki dan perempuan bercampuran. Terdapat juga teman-teman dari luar yang tidak ku kenali. Kebanyakan yang hadir adalah lelaki dewasa yang menunggang motosikal. Aku diperkenalkan setiap mereka yang hadir di situ. Beberapa teman lelaki yang ingin merapati diri ku. Mungkin mereka tertarik dengan raut wajah ku yang manis seperti Ibu. Dan juga pakaian ku yang ketat, menonjolkan bentuk badan ku.

Suasana di tepi laut itu menjadi hangat dengan jeritan teman-teman. Air bir berbotol-botol tersusun di atas meja. Makanan seperti ayam, sate, mee dan lain lain lagi, yang tidak diketahui halal atau haram, dibentang di atas meja itu. Semua termasuk aku, menjamu selera setiap makanan yang ada.

"Intan! Minumlah. Cuba sekali ini. Jangan takut tak mabuk lah beb," ajak Malik, teman ku yang menyambut kelahirannya yang ke dua puluh tahun.

"Tak nak lah. Aku tak reti lah. Aku takut mabuk nanti," aku menolak.

"Alah Intan. Kau ni rosakkan image members kita lah. Sikit saja lah. Aku pasti kau takkan mabuk," sambung Malik.

"Ialah Intan, cuba lah. Jangan takut. Hero banyak boleh hantar kau balik kalau kau mabuk," sahut teman yang lain sambil ketawa.

Atas desakan teman-teman ku. Aku cuba sedikit demi sedikit bir yang sudah dituang di dalam gelas untuk aku meminumnya. Mula-mula aku muntah apabila merasainya. Lama kelamaan. Aku menghabiskan sebanyak-banyak bir yang ada. Aku mula berjoget-joget mengikut rentak muzik yang dimainkan. Semua teman-teman mula berjoget joget seperti berada di disko. Aku seperti lupa dunia. Aku memuaskan hati ku. Pada malam itu, perasaan ku cukup bahagia. Aku merasakan seperti aku adalah seorang yang berkuasa. Yang boleh melakukan apa sahaja yang aku kehendaki.

Pada tepat pukul satu pagi, ramai teman-teman pun sudah berundur pulang ke rumah masing-masing. Mujurlah ada seorang teman Malik, yang bernama Kamal mempunyai kereta, sudi menghantar aku pulang. Kepala ku sudah pun merasa pening dan mabuk. Mungkin akibat meminum bir.

Sampai aku dirumah, Ibu sedang duduk di atas sofa di ruang tamu. Dengan selamba aku terus menuju ke bilik. Ibu menahan ku lalu terus bersuara,

"Anak dara pulang pagi pagi buta? Anak dara apa ni kau Intan? Tak tahu malu ke? Mana kau pergi? Siapa jantan yang hantar kau pulang? Rosak anak aku ini rosak!" marah Ibu.

"Ah! Intan penat lah," jawab ku dengan ringkas lalu masuk ke bilik dan mengunci pintu.

Ku mendengar rintihan Ibu. Ibu berbual sendirian lalu menangis terisak-isak. Nenek yang memerhatikan kami dari biliknya, hanya menggelengkan kepala. Aku terus melompat ke katil dan melelapkan mata kerana terlalu penat dan mabuk.

"Kenapa tak kejut Intan! Kan sudah lewat ke sekolah!" jerit aku lalu dengan deras menuju ke bilik mandi dan bersiap siap untuk ke sekolah.

Pada pagi itu. Aku harus hadir ke sekolah kerana ada ujian. Cikgu Samad sudah memberi amaran, jika tidak hadir untuk ujian pagi itu, akan dikenakan denda, iaitu setiap hari selama sebulan harus menghadiri kelas tambahan. Aku tidak mahu duduk di sekolah sepanjang hari. Aku bosan melihat guru-guru. Aku bosan melihat wajah sekolah yang buruk itu.

"Sudah pukul berapa Intan?" tanya Cikgu Sama tibanya aku ke sekolah.

"Maaf Cikgu. Saya terbangun lewat," jawab ku dengan hati yang cuak.

"Maaf, saya tidak dapat membenarkan awak menduduki ujian ini. Awak sudah terlambat selama setengah jam. Awak duduk di luar pejabat saya."

"Tapi Cikgu!"

"Tidak ada tapi lagi. Ini bukan sekali sahaja. Sudah berkali kali awak buat hal di sekolah ini. Pergi ke luar pejabat saya sekarang!" jeritnya lagi.

Dengan pandangan mata yang tajam. Aku merenung wajah Cikgu Samad lalu menjelingnya dan terus keluar dari bilik darjah itu. Perasaan benci ku terhadap Cikgu Samad membuak-buak. Cikgu Samad sering memarahi aku. Setiap hari ada sahaja perkara yang aku lakukan yang tidak disenanginya. Baik di segi kelakuan ataupun pelajaran.

Beberapa minit kemudian, Cikgu Samad pun muncul di hadapan ku dengan wajah yang garang. Dia membawa ku ke pejabatnya lalu menyuruh aku duduk di kerusi di sebelah mejanya. Aku diberi kaunselling.

"Intan. Awak seorang perempuan. Tetapi kelakuan awak seperti seorang lelaki. Bukan itu sahaja, pelajaran awak semakin merosot dan saya lihat awak semakin liar. Setiap minggu, pasti awak akan lewat ke kelas. Saya tidak dapat menerima kelakuan seperti ini dari anak murid saya. Awak masih ingat kan, tahun lepas awak di sebat di depan semua murid-murid dan guru-guru kerana kenakalan awak? Saya beri amaran sekali lagi. Kalau Intan mengulangi perkara tak senonoh lagi, saya tidak akan berasa keberatan untuk mengadukan hal ini lagi kepada guru besar, dan awak mungkin dipecat sekolah. Faham!" nasihat Cikgu Samad. "Dan ingat Intan, tahun ini tahun kedua dan terakhir awak berada di ITE. Kalau awak gagal awak harus mengulangi tahun ini setahun lagi."

Kerana keegoaan ku dan kekerasan hati ku. Aku tidak endahkan nasihatnya. Segala nasihatnya dimasukkan ke telinga kanan dan dikeluarkan ke telingat kiri. Aku membenci Cikgu Samad semenjak dia mula mengajar kelas aku. Aku dimalukan dihadapan teman-teman sekolah ku. Aku dimarahi dan aku juga pernah dipukul oleh Cikgu Samad. Aku tidak sedar betapa degilnya dan nakal. Aku pada masa itu.

Semakin hari aku semakin liar. Pelajaran aku semakin merosot. Aku sudah mula bercampur dengan lelaki-lelaki dewasa yang sudah bekerja dan menunggang motosikal. Setiap minggu aku akan diajak keluar dan pulang hingga lewat malam. Hinggakan pada suatu saat itu, peperiksaan aku sudah dekat.

"Intan, minggu depan sudah peperiksaan akhir. Ibu tidak pernah melihat kamu memegang buku. Intan, ibu tidak mahu melihat kau gagal nak. Ibu pernah bekerja nak. Ibu bekerja sebagai tukang masak pagi hingga malam hanya untuk sekolahkan kau nak. Tolong lah nak. Belajarlah nak. Jangan jadi ibu," Ibu menasihatiku sekaligus bimbang dengan persiapan ku untuk peperiksaan tahun akhir ini.

Aku akan menduduki tahun kedua iaitu tahun akhir di ITE Bedok. Sudah masanya untuk aku keluar dari sekolah itu dan memulakan pekerjaan ataupun menyambung pelajaran. Tapi hatiku sudah tawar untuk bersekolah lagi. Minat ku untuk belajar sudah hilang. Aku hanya minat bersuka .a bersama teman-teman, hinggalah aku dikenalkan dengan seorang yang cukup tampan, yang berumur dua puluh tujuh tahun dan juga menunggang motosikal. Umur aku sewaktu itu sudah pun menjejaki dua puluh tahun. Aku sangka sudah masanya aku bercinta.

Aku pun menjalinkan perhubunganku dengannya. Amir sangat mencintai diri ku. Dimana sahaja aku hendak pergi, akan dibawanya. Apa sahaja yang aku kehendaki akan diturutinya. Hari-hari lapang ku digunakan untuk bersamanya.

Dimana sahaja aku pergi, Amir akan bersama ku. Ibu tidak merestui hubungan kami. Bagi Ibu. Aku masih bersekolah, tidak layak bercinta. Ibu hanya mahu aku menumpukan pelajaran. Ibu juga tidak berapa suka dengan cara Amir yang kelihatan sedikit liar. Ah! Tapi aku tidak pedulikan itu semua. Yang penting, Amir dapat membahagiakan diriku. Ketika itu. Aku terlalu percaya dan mencintai diri. Segala suruhan Amir aku laksanakan. Sehinggakan aku sanggup mengadaikan maruah aku sendiri.

"Mari ikut Amir pulang. Teman Amir ada pinjamkan Amir VCD cerita yang menarik," ajak Amir selepas kami keluar menonton wayang.

"Dah lewat lah Mir, Intan hendak pulang. Hantar Intan pulang sahaja ya," jawabku dengan kerisauan melanda fikiran ku.

Jam menunjukkan pukul sepuluh malam. Sudah sampai masanya untuk aku pulang kerumah tetap Amir menghalang aku pulang malahan mengajak aku pulang ke rumahnya untuk menemaninya. Lagipun ibu-bapanya tiada di rumah.

Aku termakan dengan pujukan Amir. Tanpa berlengah. Aku pun dibawa ke rumahnya. Rumah Amir cantik dan besar. Biliknya cukup luas. Aku disuruh duduk di atas sofa di ruang tamu sambil menunggunya menyiapkan air untukku.

Selepas menyiapkan air, Amir pun duduk di sebelah ku lalu membuka TV yang berada di hadapan kami. Aku dan dia pun berbual-bual sambil menjamu selera air dan makanan ringan yang dihidangnya. Setiap mereka yang berdua-duaan di tempat yang sunyi pasti ada orang ketiga yang bercampur dengan mereka. Benar sungguh kata-kata itu. Aku mula digodai syaitan. Tanpa aku sedari aku telah memuaskan nafsu ku sendiri. Dan Amir, telah menjamah seorang gadis dara. Maruah ku terkorban.

"Semenjak peristiwa itu. Aku menjadi pendiam. Kehidupan aku musnah. Aku telah gagal dalam peperiksaan aku. Teman-teman aku yang lain sudah pun keluar dari sekolah itu dengan satu pencapaian kecuali aku. Aku gagal. Aku terpaksa menghadap sekolah itu setahun lagi. Fikiran aku hanya memikirkan Amir. Aku takut kehilangannya. Daraku telah hilang kerananya. Aku tidak mahu ditinggalkan Amir. Pada permulaanya, Amir tetap merapati diriku. Kasih sayangnya dicurahkan kepada ku. Hati aku berasa lega kerana Amir masih mencintai diri ku.

Ibu pula kecewa dengan kegagalan ku. Setiap malam ibu menangis mengenangkan nasibnya yang mempunyai anak seperti aku. Nenek hanya mampu mengurut dadanya. Nenek hanya mampu beristighfar. Nenek juga kecewa dengan cucunya yang satu ini.

Pada suatu hari, badan ku berasa tidak begitu sihat. Kepala aku pening. Aku berulang-alik ke bilik air kerana berasa mual. Hati ibu sudah tidak tenang. Ibu merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan diriku. Tanpa disedari. Aku didapati mengandung. Kandungan ku sudah tiga minggu. Aku takut. Aku takut hendak memberitahu Ibu. Aku tahu aku telah menconteng arang ke muka keluarga ku. Selepas aku berjumpa doktor. Aku terus bertemu dengan Amir dengan membawa berita yang akan memeranjatkannya. Telah ku duga, Amir terperanjat dengan berita yang telah aku bawa. Fikiran aku berkecamuk. Aku buntu. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan ketika itu. Amir mencadangkan aku gugurkan sahaja kandungan ku.

"Amir tidak mahu Intan menyimpan bayi itu. Tidak. Amir akan bawa Intan ke doktor. Gugurkan sahaja kandungan Intan," kata Amir apabila mengetahui dia telah menjadi seorang bapa.

"Tidak Amir. Tidak. Intan tidak mahu membunuh bayi yang tidak berdosa ini," aku menolak.

"Habis! Intan sanggup mengadap dengan keluarga Intan. Intan sanggup menanggung malu? Intan hendak semua orang tahu Intan bukan dara lagi?"

Ku terdiam lalu menitiskan air mata. Aku tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Aku terpaksa mengikut kehendak Amir. Sehinggakan aku menggugurkan bayi itu, ibu dan nenek masih belum mengetahui hal sebenar. Ia menjadi rahsia antara aku dan Amir, dan juga yang maha besar, Allah SWT.

Amir menghantar aku pulang selepas menghantar aku ke doktor untuk melangsungkan operasi menggugurkan kandungan ku.

"Bumppppp!!!!"

Tiba-tiba, motor Amir terlanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintasi jalan raya. Motor Amir terlalu laju dan tidak sempat memberhentikan motosikalnya. Aku tidak sedarkan diri. Amir menghadapi cedera parah. Kami berdua dibawa ke hospital.

Apabila aku sedar. Aku dapati kepala dan tangan ku dibaluti dan terlentar di hospital. Orang pertama yang aku sebut adalah Amir. Amir berada di unit intensif kerana telah kehilangan darah yang banyak. Nasib aku baik kerana tidak terjadi apa apa yang serius. Pejalan kaki yang terlanggar itu telah pun meninggal dunia. Doktor memberitahu ku pejalan kaki itu adalah seorang tua dan kerana dia terlalu lemah, dia tidak terselamat. Aku berasa kesal dan sedih atas kematian orang itu.

Tiba-tiba nenek muncul di pintu wad. Aku melihat nenek menitiskan air mata membasahi pipinya. Nenek mencium dahi ku.

"Kenapa jadi macam gini cu?" nenek terisak isak.

"Mana Ibu nek?" tanya ku sambil menjenguk-jenguk di luar pintu mencari Ibu.

Tangisan nenek semakin kuat. Nenek memegang erat tangan ku. Aku menunggu nenek memberitahu ku mengapa ibu tidak menjenguk ku.

Tiba-tiba seorang doktor masuk ke bilik wad lalu bersuara,

"Ibu Intan sudah meninggal dunia. Dia dilanggar motosikal yang ditunggang teman Intan, Amir."

Aku tergamam. Aku tidak percaya aku telah melanggar ibu aku sendiri. Aku tidak dapat menerima hakikat. Aku meronta-ronta menangis.

"Tidak itu bukan Ibu Intan tidak!!!!"

"Sabar cu. Bawa mengucap Intan," nenek menahan ku.

"Nenek bawa Intan ke Ibu nek. Intan hendak berjumpa Ibu," aku memujuk nenek dan doktor untuk membawa ku melihat mayat Ibu.

Air mata mengalir tanpa henti. Aku kesal. Aku begitu kesal. Aku tidak sempat memohon ampun kepada Ibu. Aku anak derhaka. Aku memukul-mukul dada ku sekuat-kuatnya. Aku kehilangan ibu. Seorang wanita yang membesarkan ku.

Menambahkan lagi kelukaan dan kesedihan di hatiku. Nenek menceritakan bagaimana ini terjadi.

Pada malam itu, hati ibu berdebar-debar. Ibu merasakan ada yang tidak kena dengan diri ku. Hatinya tekad untuk mencari ku. Sebelum itu, Ibu ada memberitahu nenek. Cita-citanya sebelum dia mati ialah untuk melihat aku memeliki segulung ijazah. Ibu ingin melihat anaknya berjaya. Ibu ingin melihat anaknya pandai. Malam itu juga ibu turun untuk mencariku. Tiba-tiba sedang dia hendak melintas jalan raya, sebuah motosikal telah melanggar ibu. Amir, penunggang motosikal itu dan aku pemboncengnya telah melanggar ibu.

Aku tidak dapat menerima kenyataan. Inilah balasan ku. Inilah kententuan takdir. Aku merasa berdosa. Berdosa terhadap Tuhan, berdosa terhadap ibu dan juga nenek.

Semenjak peristiwa itu. Aku bertaubat. Aku cuba melupakan peristiwa pahit yang melanda keluarga ku. Aku bersumpah dengan diriku sendiri dan juga aku berjanji pada diriku. Aku akan memulakan hidup baru. Aku belajar bersungguh-sungguh sehingga aku mendapat segulung ijazah. Cita-cita ku untuk menjadi seorang guru tercapai. Aku ingin membimbing anak anak muda supaya berjaya menjadi seorang yang berguna yang berjasa terhadap ibu bapa mereka.

Amir. Aku meninggalkannya. Tiada guna hidup bersama lelaki itu. Kini. Aku tinggal bersama kenangan manis ku bersama ibu dan nenek.

No comments:

Post a Comment