Wednesday, 11 July 2012

Erva lanata rawat batu karang





Erva lanata rawat batu karang

Oleh: RAMLI ABDUL KARIM
PENYAKIT batu karang bukan saja digeruni kerana kesan kesakitannya yang amat sangat apabila saluran air kencing pesakit tersumbat, malah ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang.
Apabila laluan air kencing tersekat akibat salurannya yang tersumbat, tekanan yang tinggi akan berlaku sekali gus mengganggu proses pembentukan air kencing.
Batu karang yang terjadi dalam pundi kencing biasanya bersaiz bulat yang terbentuk akibat bahan hablur (kristal) yang terdapat dalam air kencing.
Ia berlaku disebabkan jumlah bahan kimia di dalam darah atau air kencing melebihi paras biasa.
Jika kedua-dua buah pinggang mengalami kerosakan, maka akan berlaku kegagalan fungsi buah pinggang yang sepatutnya menapis bahan buangan berbentuk kimia dari dalam darah sebelum dialirkan dalam bentuk air kencing.
Dalam perubatan moden, beberapa cara boleh dilakukan terutamanya oleh pakar untuk merawat atau mengeluarkan batu karang, termasuk endoskopi dan Extracorporeal Shock Wave Lithotripsy (ESWL).
Jika saiz batu karang yang terbentuk kurang daripada 0.5 sentimeter, batu tersebut selalunya boleh keluar dengan sendirinya sekiranya pesakit lebih kerap meminum air kosong.
Dalam perubatan tradisional pula, herba ERVA LANATA atau nama saintifiknya Aerva lanata yang terkenal di kalangan masyarakat India merupakan antara tumbuhan yang sering digunakan untuk merawat penyakit batu karang.
Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, kebanyakan masyarakat India menanam pokok ini sebagai tanaman ubat-ubatan di halaman rumah.
Menurut beliau, bagi pesakit batu karang, mereka perlu merebus keseluruhan pokok erva lanata, termasuk dahan dan daun sehingga airnya kelihatan kehitaman.
``Biarkan sehingga air rebusan menjadi berkurangan kepada satu pertiga daripada paras awal dan kemudiannya disejukkan sebelum diminum.
``Pesakit bolehlah meminum sekurang-kurangnya secawan air rebusan itu sekali setiap hari iaitu seelok-eloknya pada waktu malam sebelum tidur,'' kata Tajuddin.
Kata beliau, jika perubatan cara ini berkesan, pesakit boleh merasai sendiri pengurangan kesakitan setiap kali membuang air kecil kerana kemungkinan batu karang telah dikeluarkan.
Tambahnya, kaedah rawatan menggunakan air rebusan erva lanata ini selalunya dilakukan pada peringkat awal pesakit menghidap penyakit batu karang.
``Jika rawatan tradisional ini tidak berkesan sebaliknya kesakitan yang dialami bertambah teruk, pesakit dinasihat mendapatkan nasihat pakar urologi,'' ujar beliau.
Sementara itu, orang ramai boleh mengemukakan sebarang pertanyaan melalui e-mel kesihatan @utusan.com.my.

No comments:

Post a Comment