Monday, 3 September 2012

Nik Aziz


Nik Aziz kutuk tindakan biadab memijak gambar PM

KOTA BHARU 2 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mengutuk perbuatan biadab peserta Himpunan Janji Bersih yang memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau dengan nada marah berkata perbuatan memalukan itu bertentangan dengan amalan Islam dan budaya Melayu serta individu-individu terbabit sebenarnya telah dirasuk 'pelesit'.
Nik Abdul Aziz turut meluahkan kekecewaannya dengan tindakan peserta perhimpunan itu yang mahu menukar Jalur Gemilang kerana ia sudah diterima masyarakat antarabangsa.
"Kerja ini bukan kerja orang Melayu dan bukan kerja orang Islam tetapi benda lain yang sudah dimasuki pelesit. Ini sangat-sangat dukacita dan memalukan.
"Kalau orang bukan Islam buat lainlah ini gambar tu (gambar yang disiarkan media dan internet) nampak Melayu. Kita orang Islam diajar kita jangan buat benda yang kalau orang lain buat pada kita, kita marah maka ini tidak patut berlaku," tegas beliau ketika ditemui di sini hari ini.
Tindakan tidak bertamadun itu dilakukan pada penganjuran perhimpunan tersebut di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu sempena sambutan ambang merdeka.
Aksi tidak senonoh individu-individu berkenaan kini tersebar luas di laman sesawang dan mengundang kemarahan orang ramai malah pelbagai pihak mendesak pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Dalam perhimpunan tersebut, mereka turut menuntut untuk menukar Jalur Gemilang dan ramai daripada peserta mengibar bendera berwarna merah putih seakan-akan bendera Singapura.
Sambil melahirkan rasa dukacitanya, Nik Abdul Aziz berkata, untuk menggantikan bendera bukan mudah.
''Ia perlu dibincang bertahun-tahun. Apa tujuan kita mahu tukar bendera yang sudah diterima masyarakat dunia dan tidak ada cacat pun. Saya dukacita sangat benda ini berlaku," katanya.

No comments:

Post a Comment