Jangan Jadi Sesiapa Jika...
Ketika bertemu seseorang, riak wajahnya terlebih dahulu terpancar. Sekiranya yang ditemui sedang menangis, kita pasti akan mengatakan bahawa orang itu sedang bersedih. Jika orang itu sedang ketawa, tentu sekali akan dikatakan dia sedang gembira. Hebat sekali Allah ciptakan komunikasi perasaan.
Meskipun tanpa berkata apa-apa, sudah ada anggapan yang boleh dibuat. Begitu juga jika yang ditemui itu berbahasa asing. Sudah tentu komunikasi bahasa antara kita dan dia mungkin tidak dapat difahami. Dengan komunikasi perasaan sahaja, keadaan dia sudah dapat kita fahami. Nah! komunikasi perasaan itu tidak perlu kepada pemahaman antara dua bahasa. Tidak perlu kepada kata apa-apa.
Namun, itu hanya anggapan awal. Mana mungkin akan diketahui kenapa orang yang ditemui itu sedang begitu. Pasti membuak di dada mahu diketahui apa puncanya, apakah isi yang ingin disampaikan tanpa perlu kepada kata apa-apa.
"Jangan buat apa-apa, jangan cakap apa-apa,jangan jadi sesiapa, jika anda takut di Kritik " (Dr.'Aidh Abdullah Al-Qarni)
Ya, Jika anda takut untuk menerima kritikan, maka jangan jadi sesiapa!
Inilah perkara sebenar yang ingin saya kongsikan. Lumrah kehidupan manusia, sebelum melakukan sesuatu, kebiasaannya akan ada monolong dalaman. Adanya kebarangkalian positif dan negatif. Kebarangkalian positif itu tiada masalah, akan menjadi momentum untuk lekas melakukannya. Akan tetapi, kewujudan kebarangkalian negatif yang menjadi peragut momentum. Peragut itulah yang saya namakan 'kritikan'. Kritikan pula ada yang secara berhadapan dihambur bagai percikan bunga api. Indah kelihatan tetapi bila terkena pedih terasa. Tidak ketinggalan kritikan yang secara senyap. Cukup sekadar mencebik bibir, yang terkena makan dalam dibuatnya.
Diari Kritikan
Hari-hari berhadapan dengan berbagai manusia. Ada sahaja yang kena dan tidak kena dilalui.
" Saya duduk depan dalam kelas, tapi kawan-kawan cakap saya skema, nak bodek pensyarah"
" Saya nak tanya soalan masa dengar kuliah ustaz, tapi malu. Nampak yang saya kurang ilmu "
" Saya nak pergi solat sunat Dhuha masa break minum pagi kat office, tapi kawan-kawan office cakap saya alim sangat "
" Saya nak tegur student saya supaya berpakaian sopan menutup aurat masuk kelas saya, tapi student jadi tak suka saya, cakap saya strict sangat"
Saya yakin anda punyai diari kritikan tersendiri. Sebagai seorang pelajar, pekerja, pengajar, ahli masyarakat, dimana-mana ada kritikan. Inilah peragut yang bisa melenyapkan atom-atom kebaikan untuk bebas bergerak.
Kebebasan Dari Diragut
Mari kita mencari uraian-uraian atom bagi membebaskan diri dari diragut kritikan. Bukan sekadar mahu menyebut diari-diari di atas. Tetapi bagaimana penyelesaiannya?
Anda perlu kepada buat apa-apa. Anda perlu kepada gerakan mulut bercakap apa-apa. Anda perlu pembinaan identiti untuk menjadi sesiapa. Meskipun kritikan, persoalan dan anggapan sedang menari-nari di monitor minda. Allah menciptakan kita bersebab,bukan main-main. Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang mutlak.
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar beribadah kepada-Ku"
(Surah az-Zariyat ayat 56)
(Surah az-Zariyat ayat 56)
Kita berasa takut untuk berbuat apa-apa kerana takut pada kritikan. Tetapi bagaimana kita hendak menjadi manusia yang beribadah kepada Allah kalau tidak melakukan apa-apa. Ibadah bukan hanya solat, puasa, sedekah, tetapi mencakupi seluruh kehidupan kita. Perlu untuk kita nyatakan yang benar. Yakni melakukan usaha-usaha untuk diri dan manusia lain kepada kebaikan dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Membina Perisai Diri
Bercakap memang mudah. Semudah A,B,C. Tetapi bila hendak buat apa-apa bukan semudah bercakap. Teorinya tidak semudah praktikal. Khuatir dengan penerimaan rakan-rakan, jiran tetangga dan ahli keluarga terhadap apa yang kita buat. Seboleh mungkin mahu mereka menerima secara baik. Mahu mereka beri kritikan positif. Namun, harus bagaimana kalau belum di buat hendak tahu penerimaannya? Maka dengan itu, membina perisai itu salah satu inisiatifnya. Setiap hari kita solat, berdoalah pada Allah dengan penuh penghayatan. Surah yang wajib dibaca ketika solat ini punyai doa buat kita.
"Tunjukilah kami jalan yang lurus"
(Surah al-Fatihah ayat 6)
(Surah al-Fatihah ayat 6)
Kita pinta pada Allah jalan yang lurus. Iaitu jalan hidup yang benar, yang dapat membahagiakan di dunia dan juga di akhirat. Andai jalan-jalan yang akan kita lalui akan datang dapat kita lihat, sudah pasti akan kita bina pagar-pagar menahan diri daripada tersasar daripada landasan jalan yang lurus itu. Doa inilah yang boleh kita jadikan perisai dari tersasar dalam melakukan sesuatu.
Letupan Momentum
Anda pasti ada perkara-perkara yang mahu dilakukan. Namun terbatas kerana kritikan manusia. Ayat lebih mudah saya katakan, orang mengata, orang pertikaikan. Andai kemahuan yang baik, letakkan kritikan manusia dibelakang. Halakan keinginan yang baik, cita- cita yang murni kerana Allah ke hadapan. Gapailah bintang-bintang kejora yang indah buat diri. Kritikan dan ujian itu sememangya ada pada tingkat-tingkat kehidupan yang kita lalui. Ada tingkat yang mudah didaki. Ada yang perlu penat lelah untuk sampai ke puncak.
"Telur ayam kalau menetas, dapat anak ayam. Kalau dipecahkan dan digoreng,dapat telur mata. Kalau dibiar, cengkerang akan pecah,akan jadi telur busuk."
Kenapa analogi ini saya berikan?
Jika ada kemahuan untuk melakukan sesuatu yang baik, cita-cita yang murni, lakukanlah ketika lembar usia yang ada ini. Macam telur ayam, hasil yang baik akan dapat jika ditetaskan dengan baik. Ditetas pada masa yang betul, pada tujuan yang baik. Kalau dibiarkan jadi telur busuk, anda sudah mensia-siakan kebaikan daripada telur ayam itu.
Begitu juga kalau keinginan baik yang tidak dilaksanakan kerana takut dikritik akan berkarat dalam minda. Terbuku begitu sahaja tanpa manfaatnya terutama pada diri. Ibu ayam pun perlu lalui cabaran sebelum menetaskan telur. Diperam dengan penuh sabar dan dijaga daripada binatang lain yang mengintai-intai telur untuk dijamah. Keluarlah dari cengkerang minda yang disempitkan oleh kritikan. Keluarlah seperti kicau riang anak-anak ayam yang menetas daripada cengkerang telur ke dunia luar. Dunianya yang selama ini di dalam cegkerang kini luas di depan mata.
Penutup kepada bicara kritikan ini, jadikan kritikan ujian hidup. Ujian yang perlu dilalui secara positif. Bina persepsi yang betul tentang kehidupan. Anggap kritikan sebagai "learnig process" (proses pendidikan). Proses menjalani pendidikan kehidupan. Tentu sekali dalam melaui proses kehidupan ini kita pernah gagal, pernah sakit, pernah sedih, pernah terima pelbagai kritikan. Jadikanlah proses ini sebagai momentum ke arah kebaikan akan datang.
" Kritikan daripada orang zalim ialah sumber kekuatan untuk orang yang ingin berjaya. Kritikan tersebut umpama kempen percuma, iklan terhormat dan pemberitahuan tentang kebijaksanaan seseorang." (Dr.'Aidh Abdullah Al-Qarni)
Ayuh! Orakkan langkah. Lupuskan rasa lemah kerana kritikan. Neutralkan kritikan menjadi atom-atom positif kebaikan. Jadilah sesiapa, buatlah apa-apa, katalah apa-apa. Apa yang penting, buatlah kerana Allah
No comments:
Post a Comment