Erra tidak bermadu - Engku Emran
KUALA LUMPUR 22 Jun - "Erra sudah terlalu membahagiakan saya. Tidak ada sebab untuk saya berkahwin lagi," kata Engku Emran Engku Zainal Abidin, 37.
Suami kepada pelakon Erra Fazira menafikan dakwaan telah 'memadukan' primadona filem alaf baru itu seperti yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MalaysianDigest.Com itu, beliau masih menyayangi Erra Fazira dan menghargai segala pengorbanan yang dilakukan oleh aktres berkenaan sepanjang lima tahun pernikahan mereka.
Malah, kata Emran, tidak sekalipun terfikir untuk mengamalkan poligami memandangkan ia tidak pernah berlaku dalam keluarga terdekatnya sebelum ini.
"Bapa adalah idola saya dan beliau bahagia dengan hanya satu isteri, ibu saya. Begitu juga dengan bapa saudara saya yang lain, tidak pernah ada keluarga terdekat saya yang berkahwin dua.
"Jadi, saya sendiri tidak pernah terfikir untuk ke arah itu, apatah lagi dalam keadaan rumah tangga kami yang tidak berhadapan dengan sebarang masalah besar," kata bapa kepada Engku Aleesya, 3, itu.
Ditanya kenapa baru kini beliau muncul dan membuat penafian akan berita palsu itu, Emran mempunyai sebab tersendiri.
"Sebelum ini saya fikir fitnah itu akan berakhir begitu saja. Cukuplah hanya isteri dan keluarga tahu bahawa saya tidak pernah mempunyai isteri lain, selain Erra Fazira.
"Bagaimanapun setelah hampir setahun, ia belum reda dan cerita saya berkahwin dua semakin hangat tersebar dan malangnya, ada yang mempercayai fitnah itu.
"Jadi, saya perlu menjernihkan keadaan dan saya tidak mahu Erra terus tertekan dengan soalan-soalan yang sama daripada pihak media," katanya.
Dengan penjelasan ini, Emran berharap, agar pihak-pihak yang telah melakukan fitnah berkenaan segera insaf.
"Sempena kehadiran Syaaban dan Ramadan yang akan menyusul tak lama lagi, berhentilah daripada menabur fitnah.
"Hentilah segala spekulasi mengenai rumah tangga kami, doakan yang baik-baik agar kasih sayang kami berkekalan sehingga ke akhir hayat kami," katanya
No comments:
Post a Comment