Tuesday 26 June 2012

Konflik etnik dan agama


Konflik etnik dan agama jejas pelaburan asing di Myanmar

KONFLIK terbaru di Myanmar membabitkan etnik Rakhine yang beragama Buddha dan Rohingya yang beragama Islam, menyukarkan usaha kerajaan baru pimpinan Presiden Thein Sein untuk menarik pelaburan asing ke negara itu.
Insiden itu menjejaskan keyakinan pelabur asing tentang kesungguhan Yangon untuk menjadikan Myanmar negara yang selamat dan stabil untuk pelaburan asing.
Ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi awal bulan ini ketika berucap pada Forum Ekonomi Dunia di Bangkok, menyentuh mengenai perhatian yang perlu diberikan terhadap Myanmar sebagai destinasi baru pelaburan dunia.
Beliau juga mengingatkan para pelabur agar 'berhati-hati' apabila berurusan dengan Myanmar ekoran krisis yang masih dihadapi oleh negara yang asalnya dipanggil Burma ini.
Kebimbangan pemimpin itu jelas terbukti apabila beberapa hari kemudian berlaku rusuhan kaum di negeri Rakhine yang setakat ini mengorbankan 80 nyawa.
Keganasan di negeri di barat Myanmar itu ternyata memburukkan imej Myanmar di mata dunia dan menjejaskan kempen pelaburan yang sedang giat dijalankan oleh Thein Sein.
Kawasan yang menerima kesan teruk akibat konflik tersebut ialah pekan pelabuhan Thandwe yang dikenakan perintah darurat, sedangkan pekan itu merupakan destinasi utama bagi industri pelancongan pantai Myanmar.
Turut terjejas, bandar Kyaukphyu yang menjadi pusat pelaburan utama dari China untuk membina kompleks pelabuhan.
Menurut laporan laman web bisnes Mizzima, China merupakan pelabur nombor satu di Myanmar dengan nilai pelaburan hampir AS$14 bilion (RM42 bilion) iaitu 34 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan asing di Myanmar, sekali gus mengenepikan Thailand dan lebih 31 negara lain.
Kebanyakan pelaburan itu diserapkan ke dalam industri tenaga hidroelektrik, perlombongan dan dua industri utama iaitu minyak dan gas.
Pelaburan terbaru China adalah pada November lalu bernilai AS$4 bilion (RM12 juta) dalam sektor tenaga dan kebanyakan pelaburan itu tertumpu di negeri Kachin, Rakhine dan Shan.
Biarpun Beijing merupakan sekutu rapat Yangon, namun faktor keselamatan pastinya dititikberatkan oleh China, lebih-lebih lagi kebanyakan pelaburannya dibuat di negeri yang bergolak seperti Kachin dan Rakhine.
Konflik itu turut menjejaskan perpaduan yang ingin dipupuk oleh kerajaan baru, sekali gus menjejaskan kestabilan yang cuba dipupuk Myanmar bagi memujuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menarik balik sekatan ekonomi sepenuhnya ke atas Myanmar.
Penasihat ekonomi kepada Presiden Myanmar, Winston Set Aung semasa berucap pada satu forum di Singapura baru-baru ini menyatakan bahawa, sekatan Barat itu membataskan peluang Myanmar untuk hanya menerima pelaburan jangka pendek.
Beliau berkata, sekatan ke atas Myanmar perlu dibatalkan sepenuhnya, bagi memberi laluan kepada pelaburan jangka panjang.
Sekatan itu juga perlu ditarik segera selepas Myanmar dilaporkan bakal menerima lebih 4,000 pelaburan daripada syarikat, kumpulan dan individu dari Barat yang menunjukkan minat untuk melabur di negara itu pada bulan lalu.
Krisis etnik dan agama yang berlarutan meletakkan potensi pelaburan di dalam zon tidak selamat dan bakal merugikan Myanmar kerana sukar melaksanakan projek pembangunan dan infrastruktur untuk kemudahan rakyatnya.
Malah ia turut memberi impak negatif kepada beberapa kumpulan perniagaan berprofil tinggi dari Britain, Perancis dan AS yang dijadual mengadakan lawatan ke Myanmar dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Antara syarikat besar AS yang menunjukkan minat untuk melabur di Myanmar ialah firma elektrik, General Electric dan firma pengangkutan berat terbesar dunia, Caterpillar.
Namun, polisi AS yang masih menggantung sekatan ke atas Myanmar, menyebabkan syarikat-syarikat Barat itu menangguhkan pelaburan mereka di negara itu.
Kedua-dua firma gergasi AS itu dilaporkan keliru dengan mesej berbeza daripada Washington mengenai aktiviti perniagaan yang mungkin menjejaskan hak asasi manusia dan kawasan konflik etnik, menyebabkan mereka tidak pasti had pelaburan di Myanmar.
Kecelaruan bertambah apabila mesej berbeza daripada Myanmar sendiri menyebabkan keyakinan syarikat terbabit terjejas ekoran pandangan berbeza mengenai pelaburan asing yang dinyatakan oleh Yangoon dan Suu Kyi.
Untuk membuka peluang pelaburan yang lebih baik, kerajaan Myanmar perlu mengambil langkah bijak dengan segera menangani isu-isu dalaman terutamanya membabitkan perbalahan etnik di kawasan berpotensi untuk pelaburan.
Daripada segi kepimpinan pula, kerajaan dan pembangkang harus bekerjasama dan berusaha keras untuk mempamerkan imej negara yang baik di mata dunia sebagai usaha menggalakkan pelaburan asing
Sekiranya konflik di Rakhine terus meruncing, ia bakal merugikan kerajaan Thein Sein yang telah melakukan banyak perubahan politik sejak setahun lalu, serta menyebabkan Myanmar terjerumus ke dalam krisis etnik yang berpanjangan, sekali gus menutup peluang untuk menarik pelaburan asing bagi memacu ekonomi negara itu.

No comments:

Post a Comment