Sunday 24 June 2012




SENYUMAN tidak pernah lekang terukir di bibir aktres Dian Sastrowardoyo pada pertemuan dengan Hits minggu lalu.
Dia asyik tersenyum dan sesekali ketawa besar bila bercerita mengenai kehidupannya hari ini.
Pelakon utama filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) yang pernah mencetus fenomena di Indonesia dan Malaysia sekitar sedekad yang lalu terlalu bahagia melalui hidupnya hari ini.
Menikmati kemanisan berumah tangga bersama suami, Indraguna Sutowo serta kelahiran putera sulung, Shailendra Naryama Sastraguna Sutowo yang berusia 11 bulan dianggap pelengkap kebahagiaan itu.
Kerana itu, Dian yang kini berusia 30 tahun tidak mahu membebankan fikirannya dengan masalah.
Berfikir secara positif dan jangan sesekali memandang orang lain secara skeptikal disifatkan Dian pendekatan paling terbaik untuk seseorang itu hidup aman damai.
Kata Dian, sebolehnya setiap hari dia mahu bertemu dan berbual dengan orang-orang di sekeliling yang memiliki daya pemikiran positif yang sekali gus dapat memberikan kesan dalam hidupnya.
"Saya sangat bersyukur dengan kehidupan yang saya lalui hari ini. Itu merupakan hal yang seharusnya setiap daripada kita ungkapkan pada diri kita setiap hari," kata Dian memulakan perbualan dengan Hits pada satu pertemuan dengannya di kota metropolitan Jakarta minggu lalu.
Dian rancak bercerita bagaimana diari hidup sebagai seorang isteri dan ibu membuatkan masanya benar-benar terisi sehingga ada masa wanita itu terlupa yang dia merupakan seorang artis ternama.
Di rumah, gelaran orang popular secara automatik tergugur kerana fokusnya pada rumah tangga tidak pernah terikat dengan status selebriti.
"Tumpuan saya hari ini lebih banyak pada urusan domestik (hal-hal rumah tangga). Menguruskan suami dan anak cukup membahagiakan saya.
"Kerana terlalu fokus pada rumah tangga menyebabkan suami saya pernah bertanya apa saya sudah tidak mahu lagi aktif berlakon?
"Saya harus menyatakan rasa bertuah kerana suami seorang yang sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan kepada saya. Cuma, pada masa ini saya belum mendapat skrip filem yang boleh menarik perhatian saya. Mungkin esok lusa siapa tahu," jelas Dian mengenai kerjaya lakonannya.
Syailendra yang kini semakin keletah menjadi penghibur Dian.
Anak kecil yang diasuh untuk menyapanya sebagai bunda mahu diikat dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
"Bila memeluk anak saya, ada satu perasaan yang cukup mendamaikan yang dapat saya rasakan. Saya juga dapat merasakan anak kecil itu terlalu bergantung harap pada ibunya untuk mendakap kasih sayang," Dian bercerita mengenai permata hatinya.
Kali terakhir dia muncul di layar perak ialah pada tahun 2009 sebelum mendirikan rumah tangga dengan Indraguna pada 2010.
Sejak bernikah dan dikurniakan cahaya mata, jadual seninya agak terbatas.
Sekalipun, berjauhan dari dunia filem dalam tempoh itu, namun populariti Dian tidak pernah kurang walau seinci kerana dia sering diundang menjayakan pelbagai acara hiburan.
Bahkan, kontraknya bersama produk kecantikan jenama antarabangsa, L'Oreal pula mengukuhkan lagi pengaruhnya di seluruh Indonesia.
Terbaru, dia dibawa oleh L'Oreal ke Festival Filem Cannes untuk berjalan di karpet merah festival filem termasyhur antarabangsa itu.
"Pengalaman itu sungguh menakjubkan. Saya seperti bermimpi dapat berjalan di karpet merah di festival itu. Bertemu dengan Robbert Pattinson sangat mengujakan. Wow, semua ini seperti mimpi buat saya," katanya galak bercerita.

No comments:

Post a Comment