Wednesday 18 July 2012

TUMBUHAN HERBA SEBAGAI UBAT


TUMBUHAN HERBA SEBAGAI UBAT

Tumbuh-tumbuhan dan herba memainkan peranan amat penting dalam kelangsungan hidup manusia. Beberapa ribu tahun dahulu, tumbuhan dan herba telah digunakan dengan meluasnya sebagai ubatan. Bapa perubatan iaitu Hippocrates yang telah menubuhkan Kuil Aesculapius, iaitu sebuah Kolej Perubatan juga telah mempelajari ilmu perubatan dengan menggunakan tumbuhan herba daripada orang-orang Mesir.
Malaysia adalah negara yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan semulajadi untuk membuat ubatan tradisional dan alternatif. Terdapat lebih 6000 spesis tumbuhan tropika di seluruh Malaysia. Herba dan ubat tradisional sangat kaya dengan khasiat, serta kebolehannya untuk mengubati berbagai jenis penyakit. Ianya telah digunakan sejak dari dahulu lagi sehinggalah hari ini. Ianya kekal menjadi kaedah rawatan yang popular sehingga sekarang. Ubatan tradisional adalah satu sains atau latihan dalam perubatan dan penjagaan kesihatan yang telah diwarisi sejak zaman berzaman. Ianya telah diturunkan secara lisan, bertulis atau melalui amalan.
Tidak syak lagi bahawa tumbuhan adalah merupakan rahmat Allah s.w.t yang tidak ternilai kepada manusia. Bukan sahaja sebagai bahan makanan harian, bahkan untuk kegunaan pelbagai aspek kehidupan mereka. Termasuklah aspek perubatan, menyembuh dan membasmi pelbagai jenis penyakit. Sejak dari zaman purba manusia primitif yang hidup di sesuatu bahagian mukabumi ini, mungkin sudah dapat mengenali segala jenis tumbuhan yang terdapat di sekitar kawasan mereka. Mereka sudah dapat mengenal pasti dan membezakan diantara herba dan tumbuhan yang boleh dimakan dengan tumbuhan yang mengandungi racun yang merbahaya.

HERBA & TUMBUHAN BERKHASIAT

Mereka juga memerhatikan dan meneliti jenis tumbuhan dan herba yang biasa dimakan oleh binatang peliharaan seperti kucing. Terutama apabila melihat binatang itu tidak sihat. Maka mereka dapat pengetahuan mengenali jenis tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat. Ianya disesuaikan dengan pengalaman mereka sendiri untuk dijadikan bahan perubatan. Begitulah manusia sejak zaman-berzaman sudah mempunyai kesanggupan mengubat, menyembuhkan berbagai jenis penyakit dengan menggunakan beberapa jenis tumbuh-tumbuhan.
Khasiat beberapa jenis tumbuhan dan herba tertentu yang pada mulanya hanya diketahui oleh kaum peribumi setempat itu sahaja, rupa-rupanya telah membawa rahmat besar kepada umat manusia seluruh dunia, sama ada untuk menyembuhkan penyakit tertentu ataupun dalam sesuatu bidang perubatan. Contohnya, pokok chichona, yang berasal dari Peru. Setelah dirumus oleh pakar-pakar perubatan moden, mereka berjaya menghasilkan quinine, ubat mujarab untuk menyembuhkan penyakit malaria. Daun-daun dari pokok koka, setelah diproses mengasilkan kokain, iaitu ubat pelali atau bius. Sementara opium yang diproses dari bunga popi, menjadi bahan untuk mengubati beberapa jenis penyakit.
Menyentuh perkara tumbuhan dan herba sebagai bahan perubatani, kepulauan Melayu ini bolehlah disifatkan sebagai gedung ubat yang amat besar. Setiap hutan belukar, bukit bakau, lembah, paya, sawah, padang, kampung dusun, bahkan di kawasan kediaman sendiri terdapat tumbuhan yang berbagai jenisnya. Oleh yang demikian seperti juga peribumi di bahagian-bahagian lain di muka bumi ini, orang Melayu sudah mengetahui akan khasiat tumbuh-tumbuhan dan herba yang terdapat di sekitar mereka. Maka dari pengetahuan inilah terbitnya gelaran-gelaran dukun, bomoh, pawang dan sebagainya.
Kebiasaannya cara ubatan tradisional Melayu menggunakan beberapa jenis tumbuh-tumbuhan herba dalam merawat sesuatu jenis penyakit. Dimana tumbuh-tumbuhan herba ini akan dicampurkan bersama-sama mengikut cara-cara yang tertentu. Sama ada dengan cara memasak kesemua tumbuhan tersebut ataupun dengan mengilingnya dan berbagai cara lagi.

No comments:

Post a Comment